Wednesday, November 17, 2010

Tarbiyyah Pemimpin~


Bila menyebut tentang pemimpin, kita bercakap tentang pengaruh. Pemimpin mesti individu yang berpengaruh.

Dan bila bercakap tentang pengaruh, kita tidak dapat memisahkannya dengan kepercayaan. Bila orang percaya, pengaruh kita kuat dan kepimpinan kita pun mantap.

Justeru, Rasulullah saw itu, sebelum dilantik menjadi pemimpin (Rasul) pun sudah dipercayai orang sehingga digelar Al Amin.

Berbeza dengan sekarang, setelah dilantik menjadi pemipin, orang semakin hilang kepercayaan.

Dek pandainya bercakap, berhujah dan berkempen, dia terlantik. Tetapi apabila menjadi pemimpin, baru tembelang dan ‘temberang’nya ketara.

Semakin sukar mencari pemimpin yang boleh dipercayai. Padahal seperti yang dikatakan pada awal tadi, syarat utama seorang pemimpin ialah dipercayai. Itulah yang cabaran dan hambatannya. Terlalu sukar untuk mempercayai seseorang pada masakini. Di Amerika, dengan nada sindiran ada yang mengungkapkan:

“We thought we could trust the military,
but then came Vietnam;
We thought we could trust the politicans,
But then came Watergate;
We thought we could trust the engineers,
But then came the Challenger disaster..

Tanpa kepercayaan, kita hilang segala-galanya. Kepercayaan adalah faktor paling utama yang menentukan kejayaan dalam satu-satu perhubungan, samada yang berbentuk personal mahupun profesional. Bila ada kepercayaan, prasangka, cemburu, marah, hasad dengki dan lain-lain sifat mazmumah yang boleh menggugat perhubungan akan dapat diatasi.

Bagaimana membina kepercayaan? Jawabnya, cakap dan sikap kita mesti selari. Itulah integriti – sifat amanah, jujur dan tulus yang dipraktikkan dalam apa jua keadaan dan masa. Itulah asas untuk orang mempercayai kita atau sebaliknya. Pengikut mesti percayakan pemimpinnya. Bila orang mempercayai kita, pengaruh kita akan meningkat. Bila pengaruh kita meningkat, kita akan berjaya dalam memimpin.

Ingat, kepimpinan adalah pengaruh. Inilah rahsia kejayaan kepimpinan Rasulullah s.a.w. Keunggulan kepimpinannya diawali oleh kepercayaan masyarakatnya sehingga bagainda digelar Al Amin sebelum kerasulannya dan diperkukuhkan lagi dengan sifat siddiq (benar) dan amanah selepas itu.

Kata bijak-pandai, dipercayai lebih utama daripada dicintai. Kita selalunya merasa bertuah apabila dicintai – samada oleh isteri, ibu-bapa atau sahabat-sahabat. Tetapi percayalah, jika kurang dipercayai, lama kelamaan cinta orang kepada kita akan terhakis. Lihatlah betapa banyaknya perhubungan yang terputus antara ibu-bapa dengan anak, suami dengan isteri, pemimpin dengan pengikut, justeru hilangnya kepercayaan.

Bila hilang kepercayaan, rasa cinta, hormat, kasih dan taat akan musnah. Sampai bilapun manusia lebih mempercayai mata berbanding telinganya. Maksudnya, apa yang dilihat (perbuatan) lebih berkesan untuk meraih kepercayaan berbanding apa yang didengar (percakapan) – action speaks louder than words.

Jadi apabila kita merasakan orang bawahan (subordinate) kita samada isteri, anak, pekerja mahupun pengikut, semakin sukar memberi ketaatan, kerjasama dan kesetiaan itu adalah petanda kita sudah hilang pengaruh. Hilang pengaruh, kerana hilangnya kepercayaan dan hilangnya kepercayaan bila tidak ada integriti. Tegasnya, kita tidak boleh memimpin hanya berbekalkan cinta. Kepercayaan lebih utama.

Tanpa menuding jari kepada sesiapa, anda boleh lihat betapa kita sering menerima ‘isyarat’ yang berbeza-beza daripada mereka yang bergelar pemimpin. Tidak kiralah pemimpin di peringkat mana – samada di peringkat keluarga, organisasi atau yang lebih daripada itu. Cakap lain, buat lain. Kita sering tertanya-tanya apakah bermuka-muka itu satu skill kepimpinan masa kini?

Malah kelihatan, semakin lama memimpin, semakin pandai pula bercakap berbelit-belit. Cuba kita lihat benar-benar cakap-cakap orang yang bergelar pemimpin – ucapan, kata-kata dan saranannya kekadang berbeza-beza mengikut tempat, audiens dan majlis yang berbeza-beza. Subhanallah… mudah-mudahan Allah selamatkan diri kita menjadi pemimpin yang begitu. Usahkan orang lain, anak isteri sendiri tidak akan akur dan taat!

Semoga kita menjadi pemimpin pada diri dan orang di sekeliling kita, jadilah pemimpin yang benar-benar menerapkan sifat tadhiyyah dalam diri.

Salam 'Eid Adha 1431H

Sejuta Kemaafan dari Hamba yang Hina

nursyuhadamohdshapeni

1 comment:

  1. post yang cukup baik ana kira. sangat sesuai bagi mereka2 yang ada dilehernya bai'ah khususi lil qiyadah. ana setuju dengan post ini. cuma nak jentik pemikiran sedikit untuk sama2 berfikir.. cuba kita fikir dari sudut lain... mungkin juga orang seperti ini(bermuka-muka, tidak dipercayai dll) berfungsi... berfungsi menggerakkan orang bawahan yang tidur sbb dia dah sedarkan pada orang yang diri dia bermuka-muka dan tidak layak dipercayai... dalam masa yang sama berfungsi juga membuatkan yes-man tidak pantas menerima pendapat sbb dia dah sedarkan pada orang yang diri dia tak jujur... kadang2, kita terlampau mencari kesempurnaan tapi tak pernah lansung memikirkan inisiatif nak menyempurnakan dan membaikkan orang lain... setakat itu dahulu...
    wallahu a'lam... asif kathir.. sekadar melontarkan pandangan...

    ReplyDelete