Tuesday, July 14, 2009

~dakwah satu keperluan~

Salam'alaik....sekadar berkongsi pendapat...... "dakwah satu keperluan" bukannnya "kewajipan" atas hujah-hujah yang berikut. Niat ana mengeluarkan statement sedemikian bukanlah untuk menafikan atau menidakkan hukum berdakwah itu sendiri iaitu "wajib" dan kita semua pun telah maklum bahawa kewajipan ini tertaklif pada setiap muslimin dan muslimat di setiap masa.

Terutamanya di zaman ini, dakwah itu lebih wajib kerana umat Islam pada hari ini terdedah kepada serangan virus pemikiran dan jahat musuh-musuh Allah swt yang bertujuan mencabut teras dakwah Islam dari jiwa umat Islam. Menyeru manusia kepada Allah swt adalah satu kemuliaan yang besar kepada pendokong dakwah. Allah sebut dalam Al-Quran dalam surah Fushilat ayat 33: "Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah swt, mengerjakan amal yang soleh dan berkata: sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri". Kita juga telah maklum, menyeru manusia kepada Allah swt akan menghasilkan pahala dan ganjaran yang besar yang tidak ternilai dek fikiran sebagaimana pengakuan Rasulullah saw yang diriwayatkan oleh H.R. At Tabrani: "Jika Allah swt memberi hidayah kepada seorang lelaki kerana anda, itu lebih baik bagimu daripada setiap apa yang disinari matahari". Begitu juga sabda Nabi saw yang diriwayatkan oleh H.R. At Thahawi yang bermaksud: "Orang yang paling tinggi kedudukannya di sisi Allah pada hari kiamat ialah orang yang paling banyak berkeliling di muka bumi dengan menasihati orang lain".Jadi berbalik pada statement yang ana keluarkan tadi iaitu "dakwah satu keperluan".

Ingin ana kaitkan statement ana ini dengan dua analogi. Kita lihat dahulu analogi yang pertama. Ibaratnya, kita hendak makan. Setiap kali perut kita mula berbunyi dan mula bergendang, fitrah diri kita ini ibarat ter "involuntary action" akan mula dipengaruhi dengan keinginan untuk makan yang membuak. Dan dari situlah bermulanya titik-tolak sebuah ekspedisi pencarian yang direncanakan cukup penting dan cukup mencabar pada ketika itu dimana ekspedisi yang mensasarkan pada hadaf dan niat yang satu, iaitu ekspedisi mencari sesuatu untuk dimakan:contoh( nasi,ayam goreng/golek/ percik,ikan percik/bakar/ kari,air batu campur/cendol) . Cuba kita fikir, bagaimanakah boleh wujudnya tahap keinginan untuk mencari yang sebegini tinggi pada ketika itu? Hal ini tidak lain dan tidak bukan adalah kerana kita merasakan makan, pada ketika itu, adalah keperluan yang teramat-amat perlu. Andai katalah pada masa itu makanan tidak dijumpai, maka akan menjadi satu perkara yang amat merunsingkan, merisaukan, menyakitkan dan juga menggeramkan bagi diri kita ini, yang hakikatnya ketika itu memerlukan ubat penenang untuk diberikan pada perut kita yang kini aktif dan terus giat dalam aktiviti bergendangnya. Jadi, oleh kerana keperluan pada ketika itu mengatasi segalanya, kita dengan rela hati+bersungguh- sungguh+sanggup+ berkorban= "ikhlas" akan cuba merealisasikan matlamat ekspedisi kita tadi tanpa disuruh dan dipaksa. Tidak tergambar betapa indahnya satu kepuasan setelah kita berjaya merealisasikan hadaf dan tujuan ekspedisi pencarian itu, tanpa kita di "diktator" dan di "hamba abdi" kan.

Kita lihat pula pada analogi yang kedua. Ibaratnya, kita bersolat. Solat yang menjadi "`imad ad-din" merupakan satu kewajipan terbesar bagi diri kita yang mengaku "mengintima' kan" diri dengan Islam. Kita dapat lihat makhluk yang dicipta oleh Allah yang bernama "manusia" ini, fitrahnya mudah muak dan bosan dengan perkara yang mereka lakukan secara kerap dan berulang-kali. Contoh mudah yang kita dapat lihat ialah solat. Keinginan dan keikhlasan dalam mengerjakan solat kebanyakannya disertakan secara tidak istiqamah dan konsisten. Ada kala solatnya didirikan dengan penuh keikhlasan, keinginan dan bersungguh-sungguh, dan ada kala pula solatnya didirikan dengan penuh kemalasan dan penuh sambil lewa. Inilah konsekuensi dan kesannya jika solat hanya dianggap sebagai satu "kewajipan" semata-mata tanpa menganggapnya sebagai satu "keperluan".Dari sini kita boleh lihat, dua analogi yang cukup berbeza hadaf dan objektifnya tapi sama dari segi permainan "mencari semut"nya.

Apa yang ana nak qiaskan dari kedua-dua analogi ini dengan statement ana, "dakwah satu keperluan" ialah apabila kita menganggap dakwah itu adalah satu benda yang perlu pada diri kita,masyarakat dan negara, kita akan menjadi lebih bersemangat dalam melaksanakan kerja-kerja dakwah itu sendiri kerana keperluan pada ketika itu mengatasi masa, keadaan dan segalanya tambah-tambah lagi keperluan itu melibatkan diri kita sendiri. Berbeza apabila kita menjalankan dakwah hanya sekadar untuk menunaikan satu "kewajipan". Turun berdakwah hanya sekadar menyahut kewajipan tapi dalam masa yang sama keikhlasan dan kesanggupan tidak disertakan secara konsisten. Mudah sangat rasa muak dan bosan kerana merasakan dakwah hanya sekadar kewajipan semata-mata. Hanya fikir "Lepas dakwah, selesai kerja aku... Lepas dakwah selesai kewajipan aku...". Inilah mentaliti dan ideologi ibarat virus H1N1 yang kita risaukan sekarang yang dikatakan terus menular dan terus merebak.

Ana ingin mengajak sahabat-sahabiah semua untuk melihat dan menilai dari sudut kritikal. Apabila dakwah dinilai sebagai satu kewajipan sahaja, secara pastinya ini akan mendorong kepada lahirnya pemikiran-pemikiran jumud lagi hanyut. Ini terbukti wahai sahabat-sahabiah sekalian! Ramai dai'e-dai'e zaman sekarang ni hanya duduk dalam skop menunaikan kewajipan semata-mata.Sebab itu ana lebih bersetuju, jika kita menilai "dakwah itu lebih sebagai satu keperluan", tapi dalam masa yang sama kita tidak sekali-kali membuang atau mencampakkan hukum wajib untuk berdakwah itu dari minda kita.

Sebenar-benarnya ana ingin mengajak antum semua untuk tajdid minda antum semua bahawa konsep atau teori yang kita pegang sekarang ini penting! dan mampu menentukan segala reaksi yang akan terkeluar dari "output power system" yang ada dalam diri kita. Teringat ana pada salah satu ciri-ciri khusus Islam iaitu "waqieyah" dimana Islam ini amat menitik-beratkan mengenai kesesuaian keadaan tempat,masyarakat dan masa dalam mewajibkan sesuatu hukum.

Apa yang ana ingin highlight kan ialah kesesuaian pada keadaan masyarakat. Kita boleh tengok berapa ramai orang Islam sekarang ni menghayati konsep kewajipan itu sendiri. Jadi, jika kewajipanlah yang menjadi pilihan antum semua dalam melaksanakan dakwah, dan bukannya atas dasar keperluan, sebegitu mudah ana boleh konklusikan bahawa: "dakwah dimuka bumi sekarang ini kurang berjalan atas sebab konsep kewajipan itu sendiri tidak dihayati". Inilah puncanya kalau dakwah itu dinilai hanya sebagai kewajipan semata-mata. Berlainan pula jika kita menganggap dakwah sebagai satu keperluan tanpa mengetepikan hukum wajib itu sendiri.

Ingin ana tekankan semula apa yang ana sebutkan pada analogi ana yang pertama tadi, jika keperluanlah yang kita fikirkan dalam berdakwah maka keperluan itu mampu mengatasi segalanya tidak kira masa dan tempat. Hatta ditimpa dengan pelbagai tribulasi sekalipun, jika dakwah itu dinilai pada keperluan yang perlu dilaksanakan, nescaya percayalah sahabat-sahabiah sekalian, tribulasi tersebut secara mudah antum semua hadapi.Oleh itu, ana ingin mengajak sahabat dan sahabiah semua agar menilai "dakwah ini sebagai satu keperluan dan bukannya kewajipan". Tetapi ini tidak bermakna hukum yang mengatakan dakwah itu wajib diketepikan.

Sekian dari ana. Niat ana sekadar untuk membuka pemikiran antum semua dan dalam masa yang sama ingin juga ana melontarkan pendapat ana bukan atas dasar untuk berdebat. Segala perselisihan pendapat, ana dengan rela hati bersedia untuk berhujah semula mengenai perkara ini dan sedia juga buka perbincangan. Segala kritikan amat ana hargai. Ana harap antum semua "keluarlah dari derita jumud dan cubalah berfikiran analitikal,kritikal dan alternatifikal" .Syukran…

pandangan sisi daripada sahabat seperjuangan ana...