Thursday, July 28, 2011

Ikhtilat..


Persoalan mungkin, ikhtilat (percampuran) IKHWAH dan AKHAWAT, Bagaimana dengan kita? Sesungguhnya menjadi kewajipan bagi seseorang muslimin-muslimat yang beriman kepada Allah dan Rasul itu menjauhi ikhtilat yang haram antara lelaki dan perempuan.
Hendaklah seorang wanita itu apabila telah cukup ilmu dan fahamnya dan terlibatnya di dalam dakwah untuk memastikan dirinya jauh dari ikhtilat (percampuran lelaki-perempuan) yang bukan mahramnya. Perlanggaran batas-batas pergaulan muslimin-muslimat masih terjadi dan hal ini mungkin disebabkan kerana :

1. Belum mengetahui batas-batas pergaulan.

2. Sudah mengetahui, namun belum memahami.

3. Sudah mengetahui namun tidak mahu mengamalkan.

4. Sudah mengetahui dan memahami, namun tergelincir kerana lalai.

Kita mungkin sibuk menghiasi penampilan luar kita dengan menyimpan janggut, berkopiah ataupun dengan tudung labuh warna-warni. Kita sibuk berhiaskan simbol-simbol front Islam namun lupa substans Islam. Kita bersungguh belajar ilmu Islam namun tidak fokus pada pemahaman dan amal. Aktivis sekular tidak lagi segan dengan kita!!!

Seorang ustaz bercerita bahawa ada aktivis sekular yang berkata kepadanya, “ Ustaz, dulu saya respect pada Islamic student, pakai tudung labuh, berkopiah kerana pandai menjaga pergaulan muslimin-muslimat, namun kini mereka sama saja dengan kami. Kami jadi tak segan lagi.”

Ungkapan aktivis sekular di atas memalukan kita selaku jundi-jundi yang ingin memperjuangkan agama-Nya. Menjaga pergaulan lelaki-perempuan memang bukanlah hal yang mudah kerana fitrah lelaki adalah mencintai wanita dan demikian pula sebaliknya. Hanya dengan keimanan yang kukuh dan mujahadah sajalah yang membuat seseorang dapat istiqomah menjaga batas-batas ini. Pelanggaran batas-batas pergaulan Ikhwah dan Akhawat masa kini

1. Tidak Menundukkan Pandangan ( Gadhul Bashar )

Bukankah ada pepatah yang mengatakan, “ Dari mana datangnya cinta ? Dari mata turun ke hati”. Maka jangan kita ikuti seruan yang mengatakan, “Ah, tidak perlu gadhul bashar, yang penting kena jaga hati!” Namun, bukanlah menunduk pandangan sehingga terlanggar tiang tapi cukup sekadar kita memastikan pandangan kita terjaga daripada melihat sesuatu yang tidak syarie. Lelaki memandang wanita dengan penuh nafsu dan tidak alah juga wanita yang berkelakuan demikian walau tampil “warak berbungkus”.

2. Couple

Duduk berdua di taman-taman, tepi-tepi malah ada yang lebih licik dengan menggunakan platform rasmi yang bernama ‘meeting’ ditempat2 yang mencurigakan. Walaupun kebanyakan masyarakat pelajar Azhar mahupun masyarakat arab tidak mempedulikan sebegini kerana menganggap ustaz-ustazah yang berduaan ini sedang berdiskusi tentang Islam dan tugas, namun apapun alasannya, maka menutup pintu fitnah ini adalah langkah terbaik dan wajib bagi kita.

3. “Cop awal2” Untuk berkahwin

“Bagaimana, ustazah? Tapi tiga tahun lagi baru kita kahwin. Ana takut enti diambil orang.” Akhawat belum tamat belajar sehingga ‘dicop’ seorang ikhwah untuk menikah kerana takut kehilangan, padahal belum pasti hasrat itu akan tercapai. Hal ini sangatlah berisiko dan boleh mendatangkan permusuhan dan perpecahan bukan setakat semasa belajar, malah akan berlanjutan ke tanah air. Bukankah Nabi sallahu Alihi Wasallam sendiri melarang kita daripada ‘cop awal’ atau bertunang terlalu lama. Dengan kata mudah ‘kalau rasa diri sudah berpunya dan serius dalam hubungan, eloklah dipercepatkan urusan akad antara keduanya takut-takut terjerumus kekancah maksiat. Justeru, mana mungkin hubungan suci suami isteri akan terbina kekal di atas timbunan sampah kemaksiatan.’

4. Telefon Tidak ‘Urgent’

Menelefon dan berborak tidak tentu arah yang tidak ada nilainya sama ada soal pengajian mahupun atau soal tugas berpersatuan. Kalau setakat bertanya khabar, bercakap soal hati dan perasaan atau apa sahaja yang bersifat tidak syarie tanpa batas, ana gusar apa akan kita jawab dihadapan Allah nanti. Apa yang lebih malang, kita selaku daei, ulamak dan harapan masyarakat di luar sana sebagai benteng terakhir umat Islam yang membawa mandat besar selaku agen pengubah masyarakat, harus menunjukkan teladan dan nama yang baik dengan mengenepikan sebarang salah laku.

5. SMS Tidak ‘Urgent’

Saling berchatting via SMS mengenai hal-hal yang tak ada kaitannya dengan da’wah, sampai tak sedar kredit dah habis. Sudah tiba masanya kita matang dan bermuhasabah dengan kehadiran teknologi yang sudah sekian lama kita nikmati. SMS tidak sepatutnya dijadikan medan melempiaskan nafsu serakah dengan berabang-sayang tapi sepatutnya dimanfaatkan untuk tujuan yang lebih murni dan berfaedah untuk menempah tiket ke syurga Allah Subhanahu Wataala.

6. Berbicara Mendayu-Dayu

Bercakap sambil tertawa kecil dan terdengar sedikit manja. Bukankah Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam melarang perempuan daripada bercakap dengan suara yang mendayu-dayu dan dibuat-buat untuk menarik perhatian lelaki. Jadilah wanita yang bermaruah dengan sedikit bertegas bila bercakap dengan lelaki yang bukan mahram. Si lelaki pula. Jadilah mukmin yang ‘gentleman’ dengan menghormati perempuan mukminat. Hormat dalam erti kata menjaga dan memelihara maruah kaum hawa yang bakal menjadi tempat letaknya zuriat kita, penerus generasi beragama masa depan.

7. Yahoo Messenger/Chatting Yang Tidak ‘Urgent’

YM adalah termasuk satu kemudahan. Tidaklah berdosa bila ingin menyampaikan hal2 penting di sini. Namun menjadi bermasalah bila topik perbicaraan melebar entah kemana dan tidak fokus pada da’wah kerana khalwat secara maya mudah untuk berlaku. Rasulullah s.a.w bersabda, “ Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka jangan sekali-kali dia bersendirian dengan seorang perempuan yang tidak bersama mahramnya, kerana yang ketiganya ialah syaitan.” (HR. Ahmad)

Ikhtilat Ikhwah dan Akhawat, seksiskah kita? Berdasarkan dalil-dalil yang dikemukakan, jelaslah kepada kita bahawa pergaulan atau ‘ikhtilat’ di antara lelaki dan wanita tanpa sebab-sebab munasabah yang dibenarkan adalah dilarang sama sekali dan membawa kepada dosa. Maka sewajarnya ke atas kaum Hawa menjaga batas-batas pergaulan hariannya dengan kaum Adam. Ini kerana ‘ikhtilat’ yang melanggar batas-batas syariat akan menyebabkan fitnah serta kerosakan hati dan akhlak di dalam kalangan masyarakat Islam. Seterusnya ia boleh menjatuhkan martabat wanita itu sendiri. Jadilah lelaki yamg mampu membela dan memimpin kaum hawa ke jalan yang membawa mereka ke syurga.

Bukankah sekiranya kita sayangkan seseorang, sayang kita akan lebih bermakna jika kita sama-sama memperoleh syurga. Mana mungkin lafaz sayang dan kasih kita terpalit lumpur yang natijahnya adalah neraka. Lupakan persoalan salah siapa antara kita tapi letakkan pertanyaan dalam benak sanubari kita, Ikhtilat antara ikhwah dan akhawat, bagaimana dengan kita? Adakah kita terlibat sama? Jangan sampai suatu masa anak cucu kita mentertawakan dan menghukum kita lantaran salah laku yang kita adakan hari ini.

nursyuhadamohdshapeni


Saya sedang beristikharah...


Istikharah sering dikaitkan dengan jodoh, dimana jika seseorang itu ingin mencari pasangan yang terbaik, maka istikharah lah.Itu mungkin sebahagian daripada kata-kata sahabat kita, sehinggakan perkataan istikharah ini, sekiranya saya tulis di dalam facebook saya bahawa 'saya sedang beristikharah...', maka ramai rakan-rakan yang komen " moga jodoh berkekalan..", "dengan siapa?" dan macam-macam lagi.

Kadang-kadang, dalam mencari ketetapan tempat tinggal selepas bergelar bakal graduan juga perlukan Istikharah itu. Saya sebenarnya dalam tempoh Istikharah. Ada dalam beberapa bulan sahaja lagi sebelum betul-betul masuk ke alam pekerjaan. Macam saya, Melaka dan Kuala Lumpur, dua-dua tempat itu ada baik dan buruk. Bukan mudah kita memilih dan pada waktu inilah kita mohon petunjuk dari Ilahi. Tetapi apa masalah Istikharah pada zaman kini?

Terminologi istikharah ini sengaja kita sempitkan, seolah-olah membuatkan kita 'memaksa' Allah memilih untuk kita. Walhal, Istikharah itu bukanlah sekadar kita inginkan keputusan itu datang dari Allah, tetapi keputusan itulah menandakan kebersamaan Allah Taala dalam hajat kita. Kenapa timbul resah bila, apa yang kita pilih tidak pernah muncul dalam mimpi-mimpi dan sebagainya? Bukankah istikharah itu meletakkan keyakinan terhadap apa yang kita pilih?

MEMBELAKANGKAN ILMU

Penyakit besar yang melanda anak-anak muda terbabit ialah beribadah tanpa ilmu. Mereka melaksanakan Solat Istikharah berdasarkan saranan rakan-rakan yang juga melakukannya atas saranan kawan-kawan yang lain. Berapa ramaikah yang membuka kitab Fiqh atau belajar mengenai Solat itu dan ibadah yang lain melalui para ustaz dan alim ulama’?

Keadaan ini menjadi lebih bermasalah apabila ada pula agamawan yang mengesyorkan panduan-panduan yang tidak berdasarkan keterangan al-Quran dan al-Sunnah malah diajar pula kaifiyat yang sangat membuka ruang manipulasi Syaitan dalam mengaburi pertimbangan anak Adam.

Mengira huruf tertentu di dalam Surah, menyelak secara rawak mushaf dan mencari petunjuk di muka surat yang terbuka, juga paling banyak meniti di minda ialah menanti mimpi yang menjawab permintaan.

Ia mengingatkan saya kepada pandangan Sheikh Saleem bin Eid al-Hilali di dalam kitab Bahjah al-Nadzireen syarah kepada Riyadh al-Sholiheen:

“Ada sesetengah orang berpendapat, “sesudah mengerjakan solat serta Doa Istikharah, akan muncullah nanti petunjuk dalam mimpinya, maka dia akan memilih sebagaimana yang ditunjukkan oleh mimpinya itu” Justeru ada sesetengah orang berwudhu’ dan kemudian melakukan Solat serta Doa Istikharah dan terus tidur (dengan meletakkan harapan petunjuk datang melalui mimpi), malah ada juga mereka yang sengaja memakai pakaian berwarna putih kerana mengharapkan mimpi yang baik. Semua ini hakikatnya adalah prasangka manusia yang tidak berasas”

Istikharah itu bermaksud meminta bantuan daripada Allah untuk seseorang itu memilih di antara beberapa kemungkinan yang diharuskan oleh Syara’. Ada pun pilihan yang berada antara manfaat dan mudarat, apatah lagi Halal dan Haram hatta Makruh, maka tidak harus untuk Istikharah dilakukan kerana tindakan yang sepatutnya diambil sangat jelas iaitu pada meninggal dan menghindarkan pilihan yang tidak baik itu.

Sabda Rasulullah SAW :

“Hadith yang dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam Sahihnya dengan sanadnya daripada Jabir radhiyallaahu ‘anhuma, beliau berkata: Daripada Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam Baginda bersabda:

Apabila sesiapa daripada kalangan kamu diberatkan oleh sesuatu maka hendaklah dia Rukuk dengan dua Rukuk (mengerjakan Solat dua rakaat) yang selain daripada Solat yang Fardhu (yakni mengerjakan Solat dua Rakaat dengan niat Istikharah).

Kemudian hendaklah dia berdoa: Ya Allah, aku beristikharahkan Engkau dengan ilmu-Mu dan aku juga memohon ketetapan dengan ketetapan yang bersandarkan kurniaan-Mu yang Maha Agung. Engkaulah yang Maha Menetapkan sedangkan aku tidak mampu untuk menetapkan. Engkau Maha Mengetahui dan aku pula tidak mengetahui. Engkaulah yang Maha Mengetahui akan perkara-perkara yang tersembunyi. Ya Allah, jika pada ilmu-Mu sesungguhnya urusan ini – harus disebut hajat tersebut atau cukup sekadar meniatkannya kerana Allah Maha Mengetahui akan hajat itu – adalah baik untukku pada agama, kehidupan dan kesudahan urusanku (kini dan datang), maka tetapkanlah ia untukku dan mudahkanlah ia bagiku. Kemudian berkatilah bagiku di dalam pilihan ini. Dan andaikata pada ilmu-Mu sesungguhnya hal ini adalah buruk bagiku pada agama, kehidupan dan kesudahan urusanku (kini dan akan datang), maka hindarkanlah ia daripadaku dan hindarkanlah aku daripadanya. Tetapkanlah bagiku kebaikan dan jadikanlah aku redha dengannya.

ISTIKHARAH SAHAJA TIDAK CUKUP ??

Istikharah itu mempunyai gandingan yang memberi tambahan kemudahan. Ia dikenali sebagai Istisyarah. Istisyarah ini bermaksud meminta pendapat mereka yang boleh dipercayai untuk membantu seseorang itu membuat keputusan.

Sheikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah pernah berkata:

“Tidak akan menyesal seorang yang beristikharah kepada al-Khaliq (Allah) serta bermesyuarat dengan para Makhluq, serta tetap pendirian dalam keputusannya”

Biar pun para Ulama berselisih pendapat tentang mana yang patut didahulukan antara Istisyarah dan Istikharah, ia tidak menjejaskan bahagian yang perlu dimainkan oleh seorang manusia dalam proses dirinya membuat keputusan. Sebelum sampai kepada pertimbangan memilih antara dua kebaikan, seseorang yang berhajat itu mestilah mempunyai asas dalam penilaiannya agar pilihan yang ada di depan matanya adalah antara dua perkara yang harus serta sama baik. Sudah tentu, hal ini juga memerlukan dirinya untuk mengambil bahagian dengan berusaha.

Setelah beristikharah, namun hati masih berada di dalam ketidak pastian, harus baginya untuk mengulangi Solat dan Doa Istikharah itu hingga beroleh ketetapan hati dalam membuat keputusan. Di samping itu juga, dia dianjurkan beristisyarah, yakni meminta pendapat individu-individu yang dipercayai integriti dan kemahirannya dalam urusan tersebut, agar keputusan boleh dibuat.

Titik pentingnya ialah, keputusan hendaklah kita yang berhajat itu melakukannya dan bukan menyerahkan kepada Allah untuk membuat keputusan itu dan menampakkanya melalui petanda-petanda yang dicari. Di sinilah ruang untuk fitnah berlaku apabila dalam suasana hidup kita yang dibelenggu oleh pelbagai maksiat serta Iman yang teruji, kita membuka suatu ruang kosong untuk dicelah oleh tipu helah Syaitan.

Tambahan pula dalam keadaan jiwa anak muda yang selalu lemah untuk menolak kehendak diri dan sering terdorong mengikut kemahuan. Jiwanya tidak bulat meminta kepada Allah, sebaliknya bermain helah untuk mengharapkan Allah menyokong kecenderungan dirinya sendiri.

Berhentilah mencari mimpi.

Berhentilah menunggu petanda.

Beristikharah memanggil kebersamaan Allah dalam keputusan yang kita buat. Kita yang membuat keputusan itu, dengan keyakinan hasil Istikharah, bahawa keputusan yang kita buat itu adalah dengan kebersamaan Allah. Jika di kemudian hari, pada pilihan yang dibuat itu, datang mehnah yang menguji kehidupan, kita tidak akan berfikiran negatif malah berusaha untuk mencari sisi-sisi positif pada apa yang berlaku kerana keputusan yang dibuat dahulu itu adalah dengan kelengkapan Syariatullah (Istikharah) serta Sunnatullah (Istisyarah – Ikhtiar Usaha).

Pertimbangkanlah… seandainya pilihan yang disangkakan petunjuk daripada Allah itu mencetuskan mudarat, permusuhan, meninggalkan yang afdhal dan mengambil yang mafdhul… berhati-hatilah.

Ia mungkin mainan Syaitan. Menjadi satu keperluan yang sangat penting untuk kita kembali kepada maksud asal Solat Istikharah.

adaptasi : saifulislam.com

nursyuhadamohdshapeni


Monday, July 25, 2011

Indahnya Aturan-Mu Ya Allah..


"Ya Allah, aku tidak mampu."

Ada kalanya inilah antara bait-bait kata yang akan terungkap di bibir kita tatkala diuji oleh ujian-NYA.

Sahabatku, di kala hatimu mendung bagaikan awan yang berat dengan titisan-titisan air, yakinlah ada cahaya mentari yang akan menyinari hidupmu selepas itu kerana Allah itu Maha Pengasih, Maha Penyayang.

Seringkali kita terlupa untuk memikirkan hikmah di sebalik apa yang menimpa kita kerana kita terlalu fikirkan kesedihan di hati.

Di mana Allah di hati kita tatkala kesedihan itu bermaharajalela? Adakah kita masih ego untuk menadah tangan kepada-Nya terutamanya di sepertiga malam memohon dan bermunajat kepada-NYA?

Sahabat.. indahnya aturan Allah itu tidak dapat dinilai oleh mata hati yang leka dengan kehidupan dunia.

Di saat kita terleka, Allah turunkan ujian tanda sayangnya Allah kepada kita kerana hanya dengan ujian hati kita akan lebih terarah kepada mengingati Allah dan bermunajat kepada-NYA.

Bukankah Allah sudah berfirman dalam surah Ar Ra'd : Ayat 28 :

"(iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka manjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram."[QS. 13:28]

Teruskanlah keyakinan kita dengan indahnya aturan Allah tetapkan kepada kita.

Dengan sifat redha dan bersabar serta berusaha untuk membaiki keadaan ke arah yang lebih baik adalah kata kunci kepada kehidupan yang diredhai Allah. Keyakinan terhadap indahnya aturan yang Allah tetapkan adalah keyakinan yang mampu membuatkan semangat kita tidak pernah luntur.

Yakinlah sahabat, Allah menyayangimu. Allah merindui ratapanmu kepada-NYA di setiap sujudmu. Allah merindui munajatmu terhadap-Nya di sepertiga malam di kala semua orang sedang nyenyak tidur.

Buatmu sahabat, Allah menyayangi dan mendengar setiap bait doa-doa kita.

Ikhlaskan diri dengan sentiasa berdoa kepada-Nya. Luahkanlah segala isi hatimu kepada-NYA.

Yakinlah, tiada apa yang perlu diragukan dan bertawakallah kepada-Nya, kepada Tuhan yang menciptakan dirimu, diri kita dan juga sekalian alam ini.

Yakinlah, indahnya tawakal kepada-Nya dan halawatul Iman itu akan dapat dirasai oleh orang yang melihat dengan mata hatinya.

Indahnya aturan-MU ya Allah.

Semakin Manghampiri Kematian...sanah helwah wahai diri.

nursyuhadamohdshapeni